Jujur dan Amanah –
Jangan Menipu
Jujur dan amanah!! Itulah sifat
utama yang perlu ada pada seorang peniaga Muslim. Seseorang peniaga yang menipu
dalam jualannya tidak selamanya akan terus memperoleh keuntungan. Masyarakat
pada hari ini semakin bijak menilai dan menganalisis pastinya akan dapat
menghidu penipuan yang dijalankan. Akhirnya, kerugian akan berpatah balik
kepada peniaga kerana kepercayaan para pembeli semakin berkurangan. Maka atas
sebab itu, Islam telah mengunjurkan agar setiap Muslim yang menjalankan
urusniaga mestilah bersifat jujur dengan perniagaannya. Jangan sesekali menjual
barangan yang telah rosak, menipu sukatan atau timbangan, menjual sesuatu
dengan mengambil keuntungan yang sangat besar sehingga menyukarkan pembeli dan
sebagainya. Dari segi amanah pula, seseorang peniaga Muslim tidak sepatutnya
berbuat seleweng demi meraih keuntungan semata-mata. Aktiviti jual beli yang
diselangi dengan perbuatan pecah amanah hanya merugikan kedua-dua belah pihak.
Pecah amanah ini seringkali berlaku kepada syarikat-syarikat besar yang mana
ada dalam kalangan ahlinya yang membocorkan rahsia syarikat kepada pihak-pihak
berkepentingan. Apa yang boleh diperkatakan, pecah amanah boleh berlaku
disebabkan sifat tamak yang membuak-buak dalam diri. Berpunca daripada ini
juga, boleh timbul permasalahan yang lain seperti rasuah dan sebagainya.
Sayangnya, ramai peniaga Muslim pada hari ini yang bersikap tidak sabar dan
gelojoh untuk meraih keuntungan dalam perniagaan sehingga ada dalam kalangan
mereka yang sanggup menipu dan memperdaya para pengguna. Dalam Al-Quran dengan
jelas telah menyebut dan mengangkat martabat orang-orang yang bersikap jujur
iaitu melalui Surah al-Taubah ayat 119 yang bermaksud;
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan
hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang yang jujur.”
Melalui ayat ini, dengan jelas telah menunjukkan kepada kita
bahawa kejujuran itu merupakan sifat yang penting dan terpuji serta patut
diamalkan bukan hanya dalam konsep perniagaan sebaliknya juga dalam hal-hal
kehidupan seharian.
Hindari Riba’
Apa itu riba? Mengikut
pengertian Syarak, riba ialah akad bagi sesuatu pertukaran barang-barang yang
tertentu tetapi tidak diketahui persamaannya menurut kiraan Syarak ketika akad
atau diketahui persamaannya dengan menggunakan kedua-dua pertukaran itu atau
salah satu dari keduanya. Pasti masih ramai para peniaga Muslim yang belum
mengetahui tentang konseptual riba dengan lebih mendalam. Tetapi, apa yang
boleh diperkatakan adalah riba merupakan suatu perbuatan yang diharamkan oleh
ALLAH SWT untuk diamalkan dalam perniagaan. Firman ALLAH SWT dalam Al-Quran
yang bermaksud;
“Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri
betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan
terhuyung-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu. Yang demikian adalah disebabkan
mereka mengatakan bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba.
Padahal ALLAH SWT telah menghalalkan jual beli (berniaga) dan mengharamkan
riba. Oleh itu, sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan)
daripada Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah
diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan
perkaranya terserahlah kepada ALLAH SWT. Dan sesiapa yang mengulangi lagi
(perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di
dalamnya.” (Al-Baqarah, 2:275)
Konsep riba pada hari ini dilihat semakin berleluasa tidak kira
dalam perniagaan yang kecil mahupun yang besar dan tidak dinafikan begitu ramai
dalam kalangan peniaga Muslim juga terlibat dengan amalan riba. Perlu diketahui
bahawa riba terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Riba Al-Fadhl, Riba Al-Yad,
dan Riba’ Al-Nasi’ah.
§ Riba
Al-Fadhl
Riba jenis ini bermaksud riba yang dibayar lebih kepada sesuatu
pihak yang menukarkan barang. Sebagai contoh, satu kilo beras mahsuri
ditukarkan dengan satu kilo beras yang lain iaitu berlainan jenis dan kualiti.
§ Riba
Al-Yad
Riba yang dibayar lebih kerana tidak diterima
dalam majlis akad jual beli. Contohnya, seseorang individu yang berakad
sebanyak RM50.00 tetapi apabila diluar akad dibayar RM60.00.
§ Riba
Al-Nasi’ah
Riba Al-Nasi’ah adalah riba
yang dibayar lebih kerana dilewatkan pembayarannya. Mengambil contoh pinjaman
yang dilakukan hanyalah sebanyak RM100.00 tetapi yang perlu dibayar semula
adalah berjumlah RM120.00.
Oleh itu, para peniaga Muslim perlulah menjauhi amalan riba dalam
menjalankan perniagaan masing-masing. Riba tidak langsung menguntungkan malah
hanya memudaratkan serta turut mengundang dosa dan balasan seperti yang telah
disebutkan di dalam Al-Quran Al-Karim. Riba juga hanya akan menyukarkan dan
menindas pihak pembeli atau pengguna kerana mereka perlu membayar lebih untuk
mendapatkan sesuatu keperluan. Dalam situasi yang lain, riba boleh
dikategorikan sebagai satu pemerasan dan penindasan terhadap orang-orang miskin
kerana mereka akan terus terbeban untuk menjelaskan hutang sedia ada disebabkan
bunga yang sentiasa bertambah apabila hutang lambat dibayar. Konklusinya,
hindarilah riba!! Riba hanya akan mendorong pelakunya hidup senang-lenang tanpa
bekerja dan berusaha sedangkan Islam sangat menekankan agar umatnya senantiasa
berusaha dan bekerja untuk mendapatkan rezeki yang halal dan berkat.
Saling Redha-Meredhai
Perniagaan yang baik adalah perniagaan yang mempunyai elemen
saling redha meredhai antara satu sama lain iaitu antara penjual dengan
pembeli. Dalam erti kata lain, jual beli yang dijalankan secara paksa adalah
tidak dibenarkan sama sekali. Setiap pembeli mempunyai hak untuk membeli dan
keputusan untuk membeli atau tidak sesuatu barangan terletak kepada mereka.
Maka, adalah tidak wajar sama sekali sekiranya seseorang penjual memaksa orang
lain untuk membeli barangan yang dijual. Bukan itu sahaja, paksaan juga boleh
menimbulkan pergaduhan dan perselisihan antara kedua-dua belah pihak.
Persoalannya, mengapakah elemen saling redha-meredhai penting dalam diri setiap
peniaga dan pembeli? Hal ini demikian kerana, Firman ALLAH SWT di dalam
Al-Quran yang bermaksud;
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (atau ambil)
harta orang lain secara batil (tidak sah) melainkan melalui perniagaan (yang dilakukan
secara) redha-meredhai antara kamu.” (Al-Nisa, 4:29)
Bagi mencapai sifat redha-meredhai, para peniaga dan pembeli juga
seharusnya mempunyai satu sikap lain iaitu boleh bertolak ansur sesama sendiri.
Umumnya, tawar-menawar sudah menjadi satu kebiasaan dalam perniagaan di antara
pihak penjual dengan pihak pembeli. Oleh itu, kedua-dua belah pihak perlu
mengetahui akan had atau batas dalam tawar-menawar. Sekiranya boleh, tidak
menjadi masalah untuk para peniaga bertolak ansur dengan memberikan harga yang
lebih rendah dan berpatutan seperti yang ditawarkan oleh pembeli. Akan tetapi,
pihak pembeli juga seharusnya sedar supaya mereka tidak meminta harga yang
terlalu rendah kerana boleh mendatangkan kerugian kepada pihak peniaga. Oleh
itu, bermula daripada sinilah perlunya sikap bertolak ansur antara satu sama
lain dan hasil daripada bertolak ansur tersebut boleh menimbulkan rasa saling
redha-meredhai antara penjual dengan pembeli sekiranya proses jual beli
tersebut berlaku.
Tujuan Islam menekankan konsep saling redha-meredhai antara satu
sama lain adalah untuk memastikan tidak ada mana-mana pihak yang akan
tertindas. Perniagaan sepatutnya berjalan dalam suasana yang harmonis dan boleh
memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak. Perlu difahami bahawa konsep perniagaan
sangat luas. Perniagaan boleh juga diklasifikasikan sebagai suatu kontrak iaitu
kedua-dua belah pihak yang berkontrak mestilah mendapat keuntungan
masing-masing. Sikap redha-meredhai adalah bertujuan menghindarkan rasa tidak
puas hati dan tertipu yang berkemugkinan boleh berkembang menjadi suatu masalah
yang lebih besar.
No comments:
Post a Comment